About

Tuesday, 29 November 2011

ITU HARTAKU

Di sebuah kampung, tinggal seorang lelaki yang sangat kedekut. Setiap hari dia hanya berfikir tentang cara menambah harta kekayaannya dan mengelakkan hartanya daripada digunakan.
          Dia berjalan-jalan ke kampung berhampiran mencari idea. Dia mendapati pnduduk di kampung itu kebanyakannya pemurah. Apa lagi, lelaki bakhil itu pun berhasrat menetap di kampung tersebut, jauh daripada risiko orang meminta-minta itu ini.
          Di kampung itu, dia menyamar sebagai seorang miskin. Setiap hari, dia akan keluar meminta-meminta. Bahagianya lelaki bakhil itu kerana makan minum, pakaian dan keperluan hariannya ditanggung penduduk kampung tersebut.
          Apabila pulang ke rumah, dia hanya menghitung-hitung duit emas dan perak yang dimilikinya. Malah dia juga mempunyai seekor kambing betina yang mampu menghasilkan susu yang banyak, namun bagi mengelakkan daripada berkongsi susu itu, dia rela mengurung kambingya  di dapur rumahnya.
          Lama kelamaan, penduduk kampung mengetahui bahawa lelaki tersebut sebenarnya kaya namun kedekut.
          Suatu hari, seorang musafir menunggang kuda berdekatan rumahnya. Sebaik sahaja dilihat kuda itu menghampiri rumahnya, pantas lelaki bakhil itu menjerit: “Pergi, pergi! Rumahku tiada apa-apa!”
          Lelaki musafir tersebut tidak berkata apa-apa, lalu meneruskan perjalanan masuk ke kampung. Penduduk kampung itu yang bersikap pemurah datang menghulurkan minuman dan makanan, memberi pakaian bersih dan tempat tinggal yang selesa untuk dia bermalam dan beristirehat.
          Setalah beberapa hari, lelaki tersebut mengucapkan terima kasih dan meneruskan perjalanannya.
          Beberapa hari kemudian, dia kembali semula dengan beberapa buah peti berisi emas. Barulah penduduk kampung tahu bahawa si musafir itu sebenarnya ialah seorang raja.
          Bagi membalas jasa penduduk kampung, dia menghadiahkan emas dan hartanya kepada mereka dalam sesuatu majlis jamuan makan besar-besaran.
          Dalam kemeriahan majlis itu, terdengar suara tangisan. Si raja bertanya: “Siapakah itu dan mengapa dia menangis?”
          “Itu lelaki bakhil yang menetap di hujung kampung. Dia menangis kerana menurutnya harta yang Tuanku bahagi-bahagikan itu sebenarnya dia yang lebih berhak memilikinya,” terang mereka.
          “Kenapa dia berkata sedemikian sedangkan beta yang mahukan harta ini dibahagi-bahagikan kepada kamu semua?”
          “Dia mendakwa harta ini miliknya, sebab dia orang pertama yang menemui Tuanku semasa Tuanku mula masuk ke kapung ini dulu.”
          “Kamu para penduduk kampung ini memang pemurah, tetapi tidak disangka ada juga orang bakhil macam tu.”
          Raja diberitahu bahawa dia pernah berpura-pura tidak berharta dan penduduk kampung turut membantunya waktu itu.
          “Sewaktu kamu bantu dia dahulu, apakah kamu tahu dia kaya dan berharta?”
          “Kami akan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan, Tuanku.”
          Raja mengangguk-angguk faham. Namun apabila diimbas kembali layanan yang diberikan si bakhil itu kepada Raja, baginda tersenyum lebar.

Pengajaran: Orang kaya hakiki ialah orang kaya yang tidak berhajatkan kepada apa-apa pun, malah mampu berkongsi dengan golongan yang memerlukan. Sebaliknya orang yang miskin sentiasa mendambakan harta walaupun hartanya sudah melimpah.

Rujukan : solusi isu # 37 halaman 112

0 comments:

Post a Comment